Kenapa orang muda perlu bersegera mendaftar takaful?

KENAPA ORANG MUDA PERLU BERSEGERA MENDAFTAR TAKAFUL?

Sebut saja insurans atau pun takaful, ramai yang “cabut lari” kerana mungkin mereka hanya menyangkakan bayaran mahal dan berlakunya pembaziran setiap bulan. Ini merupakan stigma negatif terhadap insurans atau takaful yang mungkin berlaku disebabkan pemahaman rendah dikalangan kita berkenaan konsep insurans dan takaful itu sendiri. Sebenarnya banyak manfaatnya insurans dan takaful dalam melindungi kedudukan kewangan yang ramai tidak tahu.

Pernahkah anda mendengar suatu ketika dulu ada seorang penyampai radio menginsuranskan suara beliau? Ini kerana baginya, suaranya adalah aset yang sangat bernilai dan sekiranya berlaku apa-apa musibah sehingga menjejaskan suaranya, maka bolehlah beliau mendapat pampasan sewajarnya.

Oleh itu, boleh dikatakan mereka yang mengambil pakej insuran atau takaful ini jelas dan faham pada kepentingan melindungi kedudukan kewangan sekiranya berlaku musibah pada bila-bila masa.

Bagi umat Islam, lebih digalakkan mengambil takaful berbanding insurans konvensional kerana secara ringkasnya takaful adalah patuh syariah kerana intrumen pelaburan syarikat takaful adalah patuh syariah dan berada dibawah pengawasan panel syariah yang dilantik. Konsep takaful juga berbeza kerana takaful berpegang kepada konsep tolong-menolong sesama ahli penyumbang takaful. Jangan terkejut jika saya katakan, banyak juga yang bukan Islam juga turut mendaftar takaful kerana mereka memahami pelbagai manfaat dan kelebihan takaful berbanding insurans konvensional.

Oleh itu, dalam artikel ini saya lebih memfokuskan pada takaful kerana saya percaya ramai orang muda patut bersegera mengambil pakej takaful.

MURAH

Biasanya sejurus selepas memasuki alam pekerjaan, kebanyakan orang akan membeli kereta. Ini tidak salah, kerana memiliki kenderaan amatlah penting bukan saja untuk pekerjaan malah lebih diperlukan bila sudah berkeluarga. Namun, sebaiknya apabila mendapat gaji pertama, eloklah mendapatkan pakej takaful walaupun bermula pada pakej paling murah.

Anda boleh mendaftar pakej yang paling murah dan menaik taraf pada kemudian hari apabila kerjaya sudah semakin stabil. Dengan bermula awal, bererti anda sudah merancang untuk mendapatkan perlindungan sekiranya berlaku musibah dikemudian hari. Banyak manfaatnya jika bermula dari awal. Menyertai takaful diusia muda membolehkan anda mendapatkan kadar caruman yang rendah.

TEMPOH MENUNGGU

Bermula dari awal juga digalakkan kerana lebih awal dapat melepasi tempoh menuggu. Kebiasaanya polisi takaful mempunyai tempoh menunggu 3 hingga 6 bulan bergantung pada jenis pakej dan polisi takaful. Dalam tempoh ini, sekiranya berlaku musibah kita masih tidak boleh membuat tuntutan. Jadi adalah lebih baik mengambil awal supaya dapat melepasi tempoh menunggu ini.

PERLINDUNGAN KOMPREHENSIF

Kelebihan orang muda adalah biasanya memiliki tahap kesihatan yang baik. Jadi apabila bermula awal, bayaran bulanan adalah rendah dan sama setiap bulan sehingga anda berumur 80 tahun. Perlu diigati, takaful tidak akan melindungi orang yang telah sakit jadi daftarlah sewaktu anda muda dan sihat. Bagi yang mendaftar takaful pada usia yang awal, tidak perlu risau berkenaan keadaan kewangan jika diuji dengan penyakit pada umur 50-an, kerana polisi yang telah diambil waktu sihat dahulu sudah cukup untuk melindungi anda.

Apabila mengambil takaful pada usia yang lanjut, kemungkinan ada sesetengah kategori penyakit yang tidak dilindungi dalam polisi takaful. Ini kerana usia yang kian meningkat kemungkinan diserang oleh penyakit adalah lebih tinggi. Mana tidaknya dengan gaya hidup sekarang, banyak makanan segera yang tidak menyihatkan badan dan ditambah pula dengan faktor pencemaran yang kian meningkat, nak mengekalkan kesihatan tidak mudah seperti yang disangkakan. Jadi hargailah peluang semasa muda dan sihat supaya kita dalat memilih pakej yang lebih baik bagi mendapatkan perlidungan yang komprehensif.

FAEDAH TANPA TUNTUTAN

Tahukah anda, polisi takaful kebanyakannya menawarkan faedah jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh yang tertentu? Contohnya jika elaun apabila dimasukkan ke hospital untuk rawatan adalah RM200 sehari, tetapi tidak ada sebarang tuntutan dibuat, maka manfaat elaun harian ini akan dinaikkan kepada RM250.

MELINDUNGI PELABURAN SEDIA ADA

Bayangkan sekiranya anda tidak mempunyai perlindungan takaful dan berlakunya musibah yang memerlukan anda menangung kos rawatan yang tinggi. Sudah tentu anda terpaksa mengeluarkan simpanan yang ada. Ada kes dimana ada yang terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang pada asalnya digunakan untuk pelaburan kerana tidak memiliki perlindungan takaful. Sudah tentu ini dapat dielakkan jika mendapatkan takaful seawal mungkin.

PERSEDIAAN AWAL

Setelah berkahwin dan memiliki anak-anak, sudah tentu komitmen kewangan anda meningkat apatah lagi jika anak-anak masih bersekolah dan pinjaman rumah dan kereta masih belum habis. Pada peringkat ini, sekiranya berlakunya kematian, segala bil rumah, hutang bank dan lain-lain hutang sudah tentunya akan membebankan waris anda. Dengan adanya takaful, apabila berlakunya kematian, maka anda boleh hibahkan pada waris pilihan anda supaya mereka boleh meneruskan kehidupan tanpa dibebani hutang-hutang yang masih belum dibayar. Adakah anda sanggup membiarkan waris anda menanggung kesusahan disamping berduka cita setelah ketiadaan anda disisi mereka? Sekiranya bermula awal, maka jumlah pampasan yang lebih banyak dapat dihibahkan pada waris. Ini sudah tentu meringankan beban mereka.

KETENANGAN JIWA

Sebagai penutup, dengan bertindak mengambil polisi takaful pada usia muda anda boleh sebenarnya sedang menjamin ketenangan jiwa kerana anda tidak perlu lagi risau tentang hal kewangan jika diuji dengan musibah. Jika lambat mengambil peluang semasa muda, semakin mahallah harga takaful premium yang perlu dibayar. Oleh itu, mendapatkan perlindungan awal ini menjimatkan kadar caruman dan mendapatkan perlindungan yang terbaik untuk anda dan sekeluarga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *